Lestari Jerai - Acara Kayak
Lestari Jerai - Acara Kayak
Pertandingan Lestari Jerai yang diadakan pada 12 November hingga 14 November bermula dengan pendaftaran para peserta di Kolej Komuniti cawangan Jerai. Pendaftaran bermula seawal jam 10 pagi dan berakhir pada jam 5 petang. Sesudah selesai pendaftaran, para peserta diberi satu taklimat khas berkenaan acara-acara, peraturan, keselamatan, penginapan, pengangkutan dan lain-lain.
Sesudah taklimat, para peserta dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu, kumpulan pertama yang akan mengambil acara berkayak dibawa ke kem penginapan di Pantai Merdeka manakala kumpulan kedua yang akan mengambil acara larian dibawa ke Kem Kenari, Titi Hayun, Yan.
Pertandingan bermula dengan acara berkayak yang diadakan di Pantai Merdeka. Acara bermula di Pantai Merdeka dan berakhir di Tanjung Dawai. Hampir semua peserta berjaya menamatkan kayuhan melainkan satu kumpulan sahaja yang terpaksa ditunda oleh bot pasukan penyelamat kerana kecederaan.
Seterusnya, peserta yang berjaya menamatkan kayuhan telah berlari ke Kampung Nelayan, Tanjung Dawai untuk menyampaikan baton kepada peserta seterusnya, iaitu acara kayuhan basikal. Yang menariknya, disini para peserta acara kayak akan melakukan kerja membungkus ikan masin yang telah disediakan oleh rakan-rakan mereka yang mengambil acara berbasikal.













